Sabtu, Oktober 09, 2010

DIMENSI BARU HUBUNGAN KEPARTIAN DAN KERAJAAN ...

Kemerdekaan tanahair ini telah pun menjangkau melebihi 53 tahun lamanya. Berbagai peristiwa suka duka telah sempat dirakamkan. Ada yang pahit dan manis namun tidak kurang juga yang menjejaskan keharmoniannya.

Kita juga sering terperangkap di antara konsep 'parti yang menguasai kerajaan' ataupun 'kerajaan yang menguasai parti'. Pada saya tiada apapun yang salah dengan kedua-dua konsep tersebut namun elemen parti dan kerajaan harus diberikan nafas yang baru bersesuaian dengan cabaran yang mendatang.
Parti harus berperanan sebagai pendesak ataupun penyumbang isu (boleh diibaratkan sebagai pemohon belanjawan) manakala kerajaan pula bertindak sebagai pelaksana desakan ataupun penyelesai isu (boleh diibaratkan sebagai pemberi belanjawan dan pelaksana). 

Suatu dimensi baru pengertian hubungan kepartian dan kerajaan harus diteroka dan meresapi sanubari rakyat kerana menang tak menang semua, kalah tak kalah semua. Kepartian harus memastikan agar suara rakyat yang diwakili akan terus didengari oleh kerajaan yang bakal melaksanakan apa jua cadangan yang ditimbulkan.

Apa yang terjadi sekarang adalah parti yang menguasai kerajaan sering dipersalahkan di atas sesuatu masalah yang berlaku dan bukannya kerajaan. Tambah merumitkan lagi ungkapan seperti kerajaan yang bertunjangkan UMNO / BN sering dipersalahkan ke arah mendapatkan sokongan rakyat yang melata. Umum seharusnya akur bahawa kerajaan menggaji kakitangannya bagi melaksana segala perancangan dan dasarnya yang sediada. 

Kegagalan kakitangan kerajaan tersebut dalam menggalas tanggungjawab masing-masinglah yang merupakan faktor yang sengaja disorok dari pengetahuan umum dan parti yang menunjangi kerajaan tersebutlah yang sering  menjadi bahan asakan. Namun ianya bukan begitu mudah untuk dilaksana. Kerajaan harus menerima sesuatu rungutan mahupun cadangan dan menimbangkannya secara objektif demi kepentingan rakyat. Tindakan yang bakal diambil kelak akan mendidik warga kerajaan agar bertugas dengan lebih dedikasi demi kesinambungan perjuangan agama, bangsa dan tanahair. Hukuman sewajarnya harus dijatuhkan ke atas mana-mana kakitangan kerajaan yang membelakangi prinsip perkhidmatan awam. 

Langkah seumpamanya dipercayai bakal mengubah lanskap perkhidmatan awam di bawah perlaksanaan kerajaan yang dilhamkan oleh golongan kepartian. 

Umum harus membezakan dua entiti yang berbeza iaitu parti dan kerajaan. Saya percaya pandangan dari sudut yang agak janggal dan berlainan ini mampu mengurangkan jurang perbezaan perkhidmatan awam yang berhemah dan juga tidak berhemah. Jika berlaku sesuatu penyelewengan, parti tidak akan terjejas sebaliknya kakitangan kerajaan yang didapati bersalah akan didakwa dan dihukum dengan sewajarnya.

Hubungan parti sebagai kumpulan pendesak ataupun perancang dan kerajaan sebagai pelaksana tanggungjawab harus dimurnikan supaya agenda pembelaan rakyat tidak akan mudah untuk dikhianati atau diambil kesempatan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Namun begitu perlaksanaannya adalah tidak semudah yang disangkakan namun perubahan tersebut harus dimaterialisasikan demi keharmonian tanahair ini.

ADA BERANI?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan